3 minute read

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2022

SAMBUTAN HARI MUZIUM ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN 2022

Hari Muzium Antarabangsa (HMA) diraikan oleh muzium-muzium di seluruh dunia pada tanggal 18 Mei setiap tahun hasil daripada resolusi Persidangan Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) pada tahun 1977. Objektif sambutan adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali muzium secara lebih dekat selain memahami fungsi dan peranan institusi muzium. Tahun lepas, Hari Muzium Antarabangsa disambut lebih 37,000 buah muzium dari 158 buah negara di seluruh dunia. Sambutan ini diadakan secara hibrid dan diakses oleh 89 juta pengguna internet di seluruh dunia. Sementara itu di Malaysia, sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan tahun ini merupakan tahun yang ke-26 penganjurannya sejak tahun 1997. Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan diterajui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan diraikan secara bergilir bersama muzium-muzium negeri atau institusi yang bergabung di bawah Persatuan Muzium Malaysia.

Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan tahun ini mencipta sejarah apabila Negeri Kelantan buat julung kalinya terpilih sebagai tuan rumah. Lebih 600 warga muzium dari seluruh negara berada di Negeri Cik Siti Wan Kembang bermula pada 19 hingga 25 Jun 2022 untuk meraikan sambutannya. Manakala dianggarkan lebih 50,000 pengunjung khususnya rakyat Kelantan, hadir ke pelbagai acara yang diadakan sepanjang tempoh berlangsungnya sambutan ini. Sambutan HMA Peringkat Kebangsaan telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob ((S.J.M.K), (D.J.M.K), (J.P), (S.M.K.)), Menteri Besar Kelantan pada 19 Jun 2022 pada jam 9.30 pagi bertempat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan. Hadir bersama adalah En. Norazman bin Othman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Datuk Kamarul Baharin bin A.Kasim, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2022. Tema sambutan pada tahun ini ialah “Keunggulan Muzium” (The Power of Museums). Tema ini mencerminkan bagaimana muzium mampu mempengaruhi masyarakat untuk bersama-sama mengubah dan membina kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Dalam konteks ini, muzium sebagai sebuah institusi yang menghubungkan masa lalu dan masa kini, memiliki kelebihan yang tersendiri dalam mencetus idea-idea baharu yang holistik ke arah merancang kehidupan yang lebih sempurna.

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan menyajikan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tempoh sambutannya. Di antaranya termasuklah pameran yang menghimpunkan koleksi dari 26 buah muzium di seluruh negara, Karnival Sukan Tradisional, Seminar Hari Muzium Antarabangsa, Bengkel dan Pertandingan Wau, Kayuhan Fun Ride Kelantan di Hati, Treasure Hunt: Jejak Warisan, Pertandingan Silat Jatuh, Pertandingan Buskers Kelantan 2022, Persembahan Wayang Kulit, Persembahan Kebudayaan, Program Muzium Bersama Komuniti “Train to Dabong”, Pesta Makanan Kelantan dan banyak lagi. Selain itu, JMM turut berkolaborasi bersama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) menerusi JAKIM untuk penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam yang telah dikeudarakan secara langsung di TV1 pada 23 Jun 2022.

JMM juga telah mempergiatkan Kempen Derma Koleksi (KDK) sepanjang tempoh berlangsungnya sambutan. Di antara koleksi yang berjaya diperolehi termasuklah alat pertukangan emas, wau, sulaman tempuk, wayang kulit dan senjata. Penderma yang menghadiahkan koleksi mereka ke JMM akan diberikan sijil dan surat penghargaan dan inisiatif pengecualian cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan, Subseksyen 44 (6a) – Hadiah Artifak, Manuskrip atau Lukisan. Nama penderma juga akan tertera di kapsyen pameran, setiap kali koleksinya dipamerkan dan yang paling penting adalah koleksi tersebut pasti kekal terpelihara sebagai sebahagian daripada khazanah warisan negara.